Berita Terkini Bola Sepak Dalam dan Luar Negara | Koleksi Jersi Liga Malaysia dan Liga Luar Negara

Penangan Samurai


Anak didik Kim Swee akur keperkasaan Jepun

TEMPIAS ‘taufan Roke’ di Fukuoka, malam tadi seperti menceritakan betapa barisan Harimau Muda karam di Stadium Tosu ketika terpaksa akur kepada keperkasaan Jepun yang turun selaku kuasa bola sepak Asia untuk merakamkan kemenangan 2-0.

Jelas perlawanan pembuka tirai Kumpulan C, saingan kelayakan Olimpik di Wilayah Saga, Kyushu, malam tadi menjadi dominasi anak didik Takashi Sekizuka yang menguasai penuh saingan 90 minit di bawah cuaca sejuk - sekali gus menuai tiga mata berharga dalam kumpulan yang turut membabitkan Syria dan Bahrain.
Realiti yang terpancar selepas wisel penamat dibunyikan pengadil Abdullah Balideh dari Qatar adalah anak didik Ong Kim Swee harus banyak belajar andai mahu memastikan sasaran tangga kedua kumpulan untuk beraksi dalam play-off, andai ia menjadi kenyataan kelak.

Tuan rumah bergelar Samurai Muda yang berhak menang atas persembahan padu di hadapan 22,504 penyokong mereka mengesahkan mata penuh menerusi ledakan Keigo Higashi pada minit ke-10 dan Yamazaki Ryohei (m-75).

Sebaik pengadil meniup wisel, Jepun mendominasi setiap saingan dengan pemain Harimau Muda sekadar mengejar bola manakala kapten yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menjadi individu paling sibuk di depan gawang.

Selepas empat kali penjaga gol negara Khairul Fahmi diuji, asakan Jepun membuahkan gol pertama ketika permainan hanya berusia 10 minit. Higashi yang tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti, meledakkan rembatan leret ke sebelah kanan untuk menggamatkan suasana stadium.

Tertekan tanpa dapat membolosi benteng Jepun, penyerang Izzaq Faris Ramlan sebaliknya dilayangkan kad kuning pada minit ke-28 kerana mengasari Kazuya Yamamura dan situasi bertambah buruk apabila penyerang, Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-40 untuk digantikan dengan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria.

Ada sedikit perubahan ditampilkan anak buah Kim Swee sebaik bersambung babak kedua apabila Wan Zaharul Nizam beberapa kali dapat melepasi benteng sebelah kiri Jepun tetapi tiada hantaran yang sampai kepada rakan di depan manakala dua rembatan jarak jauh Abdul Shukur dan Mohamad Fandi Othman tersasar jauh.

Namun, gawang negara bolos kali kedua pada minit ke-76 apabila Yamazaki mudah menolak masuk selepas Nagai melintangkan bola di depan gawang.

Categories:

Post a Comment

    Followers